Sunday, August 04, 2013

Amalan & Ibadah Untuk Wanita Ketika Haid & Nifas di Bulan Ramadhan.

Assalamualaikum semuaa !!

Ramadhan dah nak pergi...10 terakhir ramadhan adalah masa yang paling berharga dalam bulan ni. Rugilah siapa yang tak rebut peluang ni untuk memohon keampunan Allah agar ditutupkan pintu neraka baginya dan dibuka seluas luasnya pintu syurga baginya...

Ohya...!! Bagi wanita wanita yang dah cuti ABC tu..(Allah Bagi Cuti) jangan sedih dan jangan risau...Allah swt maha pemurah..Allah akan berikan ganjaran sepertimana dia beramal ketika dia sihat :-)

AMALAN BAGI WANITA KETIKA HAID & NIFAS DI BULAN RAMADHAN





Sebahagian wanita Islam yang kedatangan haid dan nifas dalam bulan Ramadhan  merasa  tidak gembira dan bimbang  kerana kehilangan peluang  untuk  beramal dan beribadah dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah dan Rahmat.  Kepada mereka yang berperasaan demikian  di nasihatkan supaya tidak berdukacita kerana yang mereka alami itu adalah  suatu ketetapan Allah keatas  manusia dari kaum Hawa.  

Sepertimana yang di sabdakan oleh SAW kepada Saidatina Aisyah r.a semasa dia dalam  kedatangan haid semasa mengerjakan haji (dalam ihram) “berkata Saidatina Aishah r.a ,Rasullah datang  kepadaku  sedang aku menangis, lalu baginda bertanya “ Apakah yang membuat kamu menangis?, adakah kamu kedatangan haid?, aku menjawab:” Ya”, baginda menegaskan bahawa ini perkara yang Allah menetapkan ke atas wanita “(Riwayat Bukhari).

 Dalam sebuah hadith yang lain Nabi SAW bersabda:” Apabila seorang hamba sakit atau musafir, Allah menulis baginya pahala sepertimana ianya beramal ketika sihat dan tidak bermusafir (bermukim). Manakala haid adalah merupakan sebagai penyakit yang mendatang yang menghalang seorang wanita dari   melakukan perkara yang  boleh dilakukannya ketika dia sihat. 
 Oleh yang demikian, wanita yang kedatangan haid mempunyai simpanan tetap pahala ibadahnya.  Ini merupakan pemberian Allah kepada wanita yang taat melakukan kewajipanya semasa dia sihat, melainkan hanya terhalang dengan kedatangan haid atau nifas. 
Ramai kaum wanita yang kedatangan haid dalam bulan Ramadhan khasnya (dan bulan-bulan lain) ,sering melalaikan  dari mengingati Allah dan merasai nikmat kerohanian bulan mulia ini.  Mereka  menghabiskan masa dengan menonton TV atau seumpamanya dengan sangkaan bahawa mereka boleh berbuat demikian menjauhi segala amalan kerohanian atau ibadat  kerana mereka dalam haid atau nifas.  Akhirnya perasaan lemah  untuk beramal akan  menguasai mereka setelah mereka suci dari haid atau nifas  dan menyebabkan mereka malas untuk mengerjakan segala amal ibadah dan kebaikan.

Oleh  yang demikian , untuk mengelak terjadinya perasaan lemah tersebut dan menjaga supaya berterusan menghayati kerohanian bulan Ramadhan ini semasa dalam haid dan nifas dan menghindarkan dari mendapat kerugian pahala yang banyak yang boleh di perolehi , di anjurkan mereka melakukan berbagai-bagai amal ibadat yang masih boleh di lakukan oleh wanita semasa dalam haid dan nifas. Antara amalan- amalannya adalah seperti berikut:


              Doa ketika datang haid 





Doa ketika haid: “Alhamdulillah ‘ala kullin hal waasta’firrullaha min kullin zambin. 

Maksudnya:

Segala puji bagi Allah di atas segala hal dan  Aku memohon keampunan  kepada Allah dari segala dosa.





Ibadah & Amalan yangboleh dilakukan bagi wanita yang datang haid @ nifas di bulan ramadhan : 

 


 Ibadah & Amalan yangboleh dilakukan bagi wanita yang datang haid @ nifas di bulan ramadhan :

  • Membaca Al Quran tanpa Musysaf seperti membaca ayat-ayat Al-Quran yang tertulis di dinding atau di web site dan youtube,
  • Mendengar bacaan Al-Quran daripada CD,TV, Radio dan seumpamanya.
  • Membaca dan memahami ayat Al-Quran dari kitab tafsir.
  • Perbanyakkan ber zikir-zikir, Selawat dan doa-doa sepanjang waktu dan tempat .  

  • Bagi yang berzikir : Maka menulis oleh Allah baginya terlepas daripada api neraka dan dapat lalu di atas Sirat dengan selamat dan aman daripada azab dan meninggikan oleh Allah Taala baginya dengan tiap satu hari dan satu malam akan pangkatnya empat puluh orang mati syahid manakala adalah perempuan itu dikira berzikir kepada Allah Taala di dalam masa haidnya.
  • Mendengar ceramah-ceramah serta tazkirah melalui kaset,CD dan seumpamanya.
  • Membaca doa selepas mendengar azan setiap waktu .
  • Memberi nasihat kepada ahli keluarga supaya senantiasa mengingati Allah dan berzikir sepanjang hari di bulan Ramadhan .
  • Mengingatkan ahli keluarga supaya menunaikan solat fardhu setiap kali masuk waktu.
  • Menggalakkan ahli keluarga menunaikan solat-solat sunat: dhuha, tarawikh, tahajud dan witir.


Disamping amal ibadah dan zikir seperti yang disebutkan,wanita dalam haid dan nifas juga boleh mendapat ganjaran pahala bulan Ramadhan Al Mubarak dengan melaksanakan tugas-tugas harian rumahtangga. Antara lainya:

  • Menyediakan juadah berbuka dan bersahur .
  • Menghulurkan juadah kepada jiran-jiran atau ke surau-surau yang berdekatan.
  • Membangunkan ahli keluarga untuk bersahur.
  • Melibatkan diri dalam aktiviti dakwah dan kegiatan masyarakat pada waktu yang terluang dalam melaksanakan amal maaruf nahi mungkar.
 Kesimpulannya setiap wanita yang kedatangan haid dan nifas, tidak pernah di beza dan di ketepikan oleh Islam dalam menghayati bulan Ramadhan Al Mubarak dengan ibadah dan amalan kebaikan dalam lingkungan rumahtangga dan masyarakat sehari-hari. Hanya kerana mereka tidak dapat menunaikan ibadah puasa (dan solat )mereka tidak kehilangan peluang untuk menikmati kelebihan bulan Ramadhan Al Mubarak.



sumber : http://seliparnix.blogspot.com/2013/08/amalan-bagi-wanita-ketika-haid-nifas-di.html


Soal jawab dengan ustaz berkenaan amalan dan ibadah wanita yang datang haid atau nifas. 

http://www.voa-islam.com/timthumb.php?src=/photos/Bataku/mawar-haid.jpg&h=235&w=355&zc=1

Soalan; Ustaz, Saya ada kemusykilan tentang haid wanita. Apa yang saya tahu perempuan dalam haid dilarang melakukan puasa dan sembahyang, mengaji Alquran. tetapi tiada larangan untuk berzikir dan berdoa. Soalan saya, boleh tak ustaz tolong berikan hujah iaitu dalil al-Quran/Hadis tentang haid yang menjelaskan perkara diatas. Sekian terima kasih.

Jawapan;

1. Telah ijmak (sepakat) para ulamak bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk puasa Ramadhan). Puasa Ramadhan wajib diqadha, adapun solat tidak perlu diqadha. Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).

2. Adapun hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;

A) Menurut Jumhur ulamak (yakni pandangan teramai ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah bersabda;”Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran” (HR Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulamak memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.




B) Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.




C) Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulamak-ulamak hadis.

3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan “Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal”.

Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;

1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran

2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran

3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

4. Berselawat kepada Nabi

5. Mendengar bacaan al-Quran

6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)

7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)

8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis

9. Bersedekah

10. Membuat kebajikan kepada orang lain

Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.

Wallahu a’lam.
Sumber : http://peribadirasulullah.wordpress.com/2011/03/09/ibadah-wanita-ketika-haid/

 

Designed by Alieff Artwork